KOTA BHARU: Polis menyelesaikan enam kes ragut di sekitar Kota Bharu susulan penangkapan seorang lelaki semalam.
Suspek itu ditahan pada pukul 9 pagi dalam satu serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kejadian ragut itu pekarangan tempat letak kereta di Lotus Lembah Sireh di sini kelmarin melibatkan seorang wanita pada pukul 7.28 malam.
Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan itu sebuah motosikal jenis jenis Yamaha Ego Gear berwarna merah yang digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah tersebut.
“Selain itu, polis turut merampas sehelai t-shirt berwarna kelabu dan sepasang seluar panjang hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Hasil soal siasat mendapati suspek juga terlibat dalam lima lagi kes samun ragut di daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Tangkapan ini sekali gus menyelesaikan enam kes samun ragut yang dilaporkan di sekitar Kota Bharu,” ujarnya.
Terdahulu tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis menjual kopi memaparkan tindakan seorang telah meragut barangan seorang wanita ketika mangsa ingin ke keretanya.-UTUSAN










