Kepala air gemparkan penduduk Pos Sinderut

Kepala air gemparkan penduduk Pos Sinderut

PENDUDUK melihat jambatan dipenuhi kayu balak reput akibat dihanyutkan kepala air berdekatan Kampung Tual, Pos Sinderut di Lipis, Pahang. - IHSAN PENDUDUK POS SINDERUT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kejadian kepala air kelmarin menyebabkan hanyutan kayu balak reput dan reba kayu menutupi laluan utama dan jambatan di Kampung Orang Asli Pos Sinderut, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, kayu balak reput dan reba pokok tumbang turut memenuhi bawah rumah dan meninggalkan kesan lumpur di rumah terletak di pesisir anak sungai berdekatan Jambatan Kampung Tual.

Difahamkan, akibat kejadian itu, longgokan kayu balak dan reba kayu turut tersangkut di jambatan tersebut sehingga menutupi laluan masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut, klinik dan beberapa kampung berdekatan.

Seorang penduduk, Bah Juman, 50, berkata, ketika kejadian berlaku hujan lebat dan dia serta keluarga baru hendak masuk tidur.

“Ketika mula hendak melelapkan mata, saya mendengar bunyi kuat berdekatan jambatan dan segera bangun melihat menggunakan lampu suluh. Rupa-rupanya pokok balak dan reba kayu sudah menimbun atas jambatan.

“Saya juga melihat aliran yang dikenali ‘kepala air’ melimpah ke kawasan penempatan pinggir sungai ini. Banyak reba kayu yang agak besar tersangkut di tiang bahagian bawah rumah,” katanya di Pos Sinderut di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian kepala air itu mengejutkan semua penduduk berdekatan dan kakitangan SK Sinderut kerana jambatan yang melibatkan laluan utama ke situ ditimbus kayu balak reput dan tertutup kepada semua kenderaan.

Bagi Bah Johari, 45, dia tidak menyangka hujan lebat mencetuskan aliran kepala air yang pertama kali dilihat kesannya terhadap alam sekitar di situ.

“Kami juga terputus sepenuhnya talian komunikasi dan diharapkan pulih dalam masa terdekat kerana kemudahan ini penting untuk waktu kecemasan dan juga berhubung dengan rakan di luar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN