PENDANG: Penghinaan terhadap mana-mana agama, khususnya Islam, hanya akan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat dan tidak membawa sebarang manfaat kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, keadaan ini boleh dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kekecohan yang berlarutan.
“Jika berlaku huru-hara akibat penghinaan terhadap agama, tiada pihak yang akan mendapat keuntungan, sebaliknya, ada individu atau kumpulan tertentu yang cuba mengambil kesempatan mencetuskan kekacauan dalam kalangan rakyat.
“Saya ingin mengajak dan merayu kepada guru-guru pondok serta para asatizah supaya memainkan peranan mendidik masyarakat agar tidak terlibat dalam sebarang usaha menghina mana-mana agama,” katanya pada program Ziarah Santun Asatizah Du’at Al-Falah dan Berbuka Puasa sempena lawatan rasmi ke Kedah di Pondok Bukit Jagong, malam tadi.
Dalam konteks penghinaan terhadap agama Islam, Mohd. Na’im menjelaskan, agensi agama di negara ini sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani isu ini.
Beliau menegaskan pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa terhadap individu bukan Islam yang menghina Islam kerana peruntukan undang-undang berkaitan berada di bawah kuasa pihak berkuasa tertentu.
“Mereka yang menghina agama Islam perlu dikenakan tindakan tegas, namun, dalam masa yang sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengingatkan umat Islam agar tidak menghina agama lain kerana tindakan itu hanya akan mengundang penghinaan balas terhadap Islam.
“Perdana Menteri turut menegaskan bahawa penguatkuasaan harus dilakukan secara adil tanpa mengira agama mana yang dihina. Oleh itu, sesiapa sahaja yang cuba menimbulkan kekacauan dan ketidaktenteraman dalam negara akibat penghinaan terhadap mana-mana agama akan dikenakan tindakan tegas,” ujarnya. – UTUSAN











