Harga makanan bazar Ramadan naik hingga 20 peratus

Harga makanan bazar Ramadan naik hingga 20 peratus

SEBAHAGIAN peniaga yang menjual lauk-pauk di Bazar Ramadan Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peniaga makanan di kebanyakan bazar Ramadan di sini, menaikkan harga jualan antara 10 hingga 20 peratus berikutan kenaikan kos bahan mentah termasuk santan.

Peniaga terpaksa menaikkan harga makanan  selepas harga santan di negeri ini naik berganda daripada RM9 sekilogram kepada RM19 sekilogram sejak Oktober tahun lalu.

Seorang peniaga, Aida Said, 37, yang berniaga di Bazar Ramadan Shah Bandar berkata, dia terpaksa menaikkan harga lemang kira-kira RM1 hingga RM2 sebatang berbanding tahun lalu.

Katanya, pada Ramadan kali ini, dia menjual  sebatang lemang pada harga RM13 hingga RM15 mengikut saiz buluh.

“Kenaikan harga lemang itu juga bukan disebabkan harga santan yang mahal malah harga buluh melambung tinggi,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Shah Bandar di sini, semalam.

Sementara itu, peniaga lauk-pauk, Robiah Hassan, 47, berkata, dia terpaksa menaikkan harga antara 10 peratus hingga 20 peratus untuk menampung kos barang mentah.

Katanya, dia tidak dapat mengelak daripada menaikkan harga lauk-pauk untuk mengelakkan kerugian, namun kebanyakan pengguna memahami punca kenaikan tersebut.

“Terdapat pelanggan terutama dalam kalangan B40 mengeluh apabila harga lauk-pauk  lebih tinggi berbanding tahun lalu,” ujarnya.

Seorang pelanggan, Abdul Rahman Salleh, 35, berkata, dia membeli juadah secara berhemah memandangkan harganya semakin mahal untuk mengelakkan pembaziran.

“Saya telah menjangkakan berlaku kenaikan harga makanan di bazar Ramadan tahun ini berikutan kenaikan harga barang mentah,” katanya.

Sebanyak 57 lokasi bazar Ramadan dibuka di Terengganu membabitkan 4,456 peniaga.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN