Harga ikan tongkol dikawal SHMMP

Harga ikan tongkol dikawal SHMMP

JABATAN PERIKANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga ikan tongkol atau ikan aya kini dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut bagi memastikan kestabilan harga dan ketersediaan bekalan di pasaran khususnya menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan.

Bagaimanapun katanya,  harga maksimum bagi ikan tongkol bersaiz satu hingga dua ekor sekilogram sudah ditetapkan di Pahang, Terengganu dan Kelantan

“Beberapa hasil laut lain turut dikawal termasuk ikan demudok, sagai, cermin dan cupak tiga hingga lima ekor sekilogram di Sabah.

“Selain itu, ikan kembung termasuk mabung lapan hingga 12 ekor sekilogram serta ikan selayang lapan hingga 12 ekor sekilogram turut tertakluk kepada kawalan harga di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, jabatan sama melaporkan berlaku  peningkatan ketara dalam pendaratan tuna neritik tahun lalu dengan jumlah pendaratan di seluruh negara mencecah 63,780.32 tan bernilai lebih RM781.3 juta.

Kenyataan itu turut menjelaskan sektor perikanan negara mencatat pertumbuhan positif berbanding 2023 yang merekodkan pendaratan sebanyak 55,222.67 tan.

Perak merekodkan sebagai pengeluar utama tuna neritik sebanyak 16,933.90 tan bernilai RM207.4 juta, diikuti Sabah dengan 12,479.22 tan bernilai RM152.9 juta.

Sementara itu Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata,  pihaknya komited dalam memastikan pihaknya memberi kestabilan harga dan bekalan ikan di pasaran khususnya pada musim perayaan ini.

“Peningkatan pendaratan tuna neritik, termasuk ikan tongkol, adalah bukti usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kelangsungan industri perikanan negara dan kestabilan harga untuk kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN