Hajat berbuka puasa di masjid tidak kesampaian, bapa maut, anak parah dirempuh

Hajat berbuka puasa di masjid tidak kesampaian, bapa maut, anak parah dirempuh

MOTOSIKAL yang dinaiki dua beranak hancur dalam kemalangan di Jalan Dato Kayaman, Beseri, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Hasrat dua beranak berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib di masjid tidak kesampaian apabila motosikal dinaiki mereka ketika dalam perjalanan ke masjid berkenaan dirempuh sebuah kereta di Jalan Dato Kayaman, Beseri di sini, semalam.

Ekoran rempuhan dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, Rahimi Mat Rejab,49, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya, Umar Haziq,16, parah.

Umar Haziq yang mengalami kecederaan dalaman yang serius difahamkan ketika ini sudah selesai menjalani pembedahan serta dipantau rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Sarih Salleh berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa melalui Jalan Tok Kayaman-Jejawi menuju ke arah Beseri sebelum dirempuh kereta jenis Honda Civic dari arah belakang.

Katanya, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai bergerak dalam kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

“Akibat hentaman kuat itu, motosikal mangsa terbabas dan melanggar tiang lampu jalan, manakala kereta berkenaan pula terbabas melanggar tembok longkang di arah bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mayat Rahimi dihantar ke Jabatan Forensik HTF untuk proses bedah siasat.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sarih juga meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muzammil Zamree di talian 016-8459442. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN