Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam setelah sebulan berpuasa. Menikmati pelbagai juadah tradisional dan moden bersama keluarga serta sahabat handai menjadi antara kemeriahan utama perayaan ini.
Namun, pemilihan makanan yang bersih, selamat, dan berkualiti amat penting untuk mengelakkan sebarang risiko keracunan makanan yang boleh menjejaskan sambutan Aidilfitri.
Dalam kemeriahan menyediakan hidangan raya seperti rendang, ketupat, lemang, kuih-muih dan pelbagai lauk-pauk, aspek keselamatan makanan sering terlepas pandang. Hidangan yang terbiar lebih dari tempoh empat jam tanpa kawalan suhu berisiko mengalami pencemaran dan kerosakan.
Selain itu, makanan yang tidak ditutup dengan baik atau disentuh tanpa menggunakan peralatan yang sesuai seperti penyepit dan sudu boleh menyebabkan pencemaran silang, menjadikannya cepat rosak dan tidak selamat untuk dimakan.
Statistik menunjukkan peningkatan kejadian keracunan makanan sepanjang bulan Syawal tahun 2024, dengan 59 episod berbanding 36 episod pada tahun sebelumnya.

Antara faktor utama termasuk kebersihan diri pengendali makanan yang kurang baik, peralatan memasak yang tidak bersih, serta cara penghidangan dan penyimpanan makanan yang tidak mengikut amalan yang betul.
Amalan mencuci tangan sebelum mengendalikan makanan dan selepas ke tandas memainkan peranan penting dalam mencegah penyebaran kuman.
Selain itu, teknik nyahbeku dan cara memasak yang betul dan sempurna, terutamanya untuk makanan seperti daging atau kambing panggang, adalah sangat penting.
Jika bahagian tengah makanan masih beku, haba tidak dapat menembusi keseluruhan makanan dengan sempurna. Akibatnya, kuman yang masih hidup di kawasan titik paling sejuk (cold spot) boleh membiak dan menyebabkan keracunan makanan. Lebihan
makanan juga perlu disimpan dengan betul dalam bekas bertutup di dalam peti sejuk bagi mengekalkan kualiti dan mengelakkan pencemaran.
SARANAN KEPADA PENGGUNA
Keracunan makanan boleh dielakkan dengan mengamalkan cara penyediaan dan pengendalian makanan yang betul dan selamat. Konsep “lihat, hidu dan rasa” boleh dijadikan panduan mudah sebelum menikmati juadah atau menghadiri rumah terbuka di Aidilfitri.
“Lihat” untuk memastikan makanan elok, bersih dan tiada bendasing. “Hidu” pula untuk mengesan jika terdapat bau yang mencurigakan. “Rasa” dalam jumlah yang kecil bagi memastikan makanan masih dalam keadaan yang baik sebelum menikmati hidangan sepenuhnya.
Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan “perhati dan pilih” apabila hendak membeli makanan siap mahupun bahan mentah. Pastikan dalam memilih makanan dipasaran, utamakan produk yang mempunyai logo keselamatan makanan seperti MeSTI.
Bagi mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung dan ingin singgah makan di RnR mahupun restoran atau gerai makanan, pilihlah premis makanan yang mempunyai logo pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) manakala bagi yang bercadang ingin mengadakan majlis rumah terbuka pula, pilihlah pembekal makanan yang dipercayai yang mempunyai pengiktirafan Trust MyCatering.
Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Pastikan juadah hari raya disediakan, dikendalikan, serta disimpan dengan baik dan selamat. Raikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan tanpa keracunan makanan.
“Hidangan Selamat, Raya Ceria, Kesihatan Terjaga”
Oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)











