PETALING JAYA: Keadaan penyanyi Rock, Datuk Nash kini stabil dan kini menjalani pemantauan di Hospital Avisena Shah Alam selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan jenis Axia pada 30 Oktober lepas.
Anaknya, Farina Nasha memaklumkan imbasan Tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan ke atas pemilik nama penuh Nashrudin Elias itu tidak menunjukkan sebarang kecederaan dalam serius namun masih diletakkan dalam pemantauan pakar.
“Semalam beliau menjalani imbasan Tomografi berkomputer (CT Scan), doktor mengesahkan tiada pendarahan di kepala atau sebarang kecederaan di mana-mana organ dalaman beliau.
“Jadi kerana itu, kami telah memindahkan beliau, dari Hospital Seksyen 7 Shah Alam ke Hospital Avisena Shah Alam untuk pemantauan lanjut.
“Namun doktor memaklumkan beliau mengalami sedikit gegaran pada kepalanya yang mana mengakibatkan beliau tidak boleh tunduk dan terasa mual. Doktor berkata keadaan ini mungkin akan pulih sepenuhnya dalam empat ke lima bulan.
“Buat masa ini keadaan beliau stabil dan diletakkan dalam pemantauan,” katanya.
Nash baru-baru ini menerima 52 jahitan di kepalanya susulan kemalangan yang dialami kira-kira pukul 10 malam, dua hari lalu.
Dalam kejadian itu, beliau yang menaiki motosikal dirempuh kenderaan jenis Axia Ketika menghampiri kediamannya selepas pulang dari sebuah surau berlokasi di Seksyen 7, Jalan Turmalin, Shah Alam untuk menunaikan solat Isya.
Laporan polis telah dibuat, Pemandu berkenaan yang sempat ditemui Farina memaklumkan dia tidak nampak keberadaan motosikal yang dinaiki Nash kerana tergesa-gesa keluar dari tempat tersebut.
“Dia yang berasa serba salah atas memohon maaf kepada saya,” kongsinya.











