KUALA TERENGGANU: Pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz sedia bertemu lelaki yang teringin berjumpa dengannya untuk melepaskan kerinduan terhadap arwah ibunya yang dikatakan mempunyai wajah seiras.
Perkara tersebut dinyatakan anak kepada pelakon tersebut, Muhammad Shah Muhammad, 45, setelah hantaran lelaki itu tular dalam media sosial.
Muhammad Shah berkata, dia menyedari perkara itu setelah dihubungi beberapa kenalan yang ingin membantu lelaki tersebut bertemu Wan Maimunah.
“Saya terkejut apabila dapat tahu kisah lelaki itu yang kesal kerana tidak dapat memohon kemaafan dari ibunya yang meninggal dunia 19 tahun lalu. Lelaki itu mendakwa wajah arwah ibunya sangat mirip dengan Wan Maimunah dan begitu teringin berjumpa untuk melepaskan kerinduan.
“Insya-Allah, ibu (Wan Maimunah) akan berada di gerai ayam golek Ferris Wheel dekat Pengadang Baru selepas solat Asar petang ini dan lelaki itu boleh datang berjumpa dengan ibu,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular dalam media sosial mengenali luahan seorang lelaki yang begitu teringin berjumpa pelakon veteran tersebut kerana wajahnya begitu seiras dengan arwah ibunya.
Lelaki itu yang menggunakan nama syukriesufian di beberapa akaun media sosial sangat berharap dapat bertemu Wan Maimunah agar dapat mengubat kerinduan terhadap insan tersayang. – UTUSAN










