KUALA LUMPUR: Warga kota memanfaatkan sepenuhnya cuti umum Hari Nuzul al-Quran semalam untuk membeli-belah pelbagai barangan keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Tinjauan Utusan Malaysia di Bazar Raya Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini dan kawasan sekitarnya mendapati, pasar raya dan gerai-gerai dipenuhi oleh pengunjung yang membawa keluarga datang membeli persiapan raya.
Penjawat awam, Muhammad Mualim Azman, 30, berkata, dia dan isteri sudah merancang untuk mencari barangan semalam berikutan cuti persekolahan.
Katanya, apabila anak bercuti maka lebih mudah untuk mencari keperluan raya terutama baju raya.
“Bazar Jalan TAR memang pilihan utama untuk kami sekeluarga kerana memiliki pilihan yang pelbagai dan menarik. Saya sudah masuk tiga hari di sini, namun hari ini baru bersama anak-anak.
“Sudah tiga hari mencari warna yang sesuai terutamanya wanita. Apabila cuti umum seperti ini, mudah saya hendak cari,” katanya ketika ditemui.
Pekerja swasta, Azirah Abd. Aziz, 40, berkata, kehadiran mereka sekeluarga di situ untuk memberikan pengalaman baharu kepada anak-anak merasai suasana bazar raya.
“Sebelum ini memang saya hanya beli secara dalam talian, jadi bila cuti sekolah, dapat saya bawa anak-anak rasa tempat (bazar) macam mana.
“Segala kelengkapan semua sudah lengkap. Namun, bila datang bazar memang rasa lain. Lagi seronok,” katanya.
Turut tidak melepaskan peluang, Muhammad Firdaus Sathik Rahman, 29, yang baharu menimang cahaya mata pertama.
“Saya dan isteri memang rancang untuk cari baju raya untuk anak memandangkan kami berdua dapat cuti.
“Disebabkan dia (anak) masih kecil, jadi kami terpaksa mencari baju di bazar kerana susah untuk beli secara dalam talian,” katanya. – UTUSAN