PETALING JAYA: Situasi kemanusiaan di Palestin khususnya Gaza terus meruncing berikutan sekatan bantuan dikenakan Israel telah berlanjutan hampir seminggu.
Rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Semenanjung Gaza, Nurul Ain Haron berkata, Israel terus menyekat laluan di Sempadan Gaza bagi menghalang bantuan kemanusiaan untuk memasuki Palestin.
Katanya, sudah enam hari tiada sebarang bantuan masuk ke wilayah itu termasuk lori komersial.
Berita berkaitan:
“Sempadan masih ditutup dan Israel terus menghalang makanan, ubat-ubatan serta gas daripada memasuki Gaza.
“Pesakit-pesakit di hospital berisiko hilang nyawa jika bekalan gas dan minyak tidak sampai.
“Dua orang anak saudara saya juga terjejas akibat ketiadaan ubat-ubatan, sekali gus mencerminkan kesan buruk sekatan bantuan yang dikenakan ke atas Gaza,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Nurul Ain yang mempunyai keluarga mentua di Palestin, dia meluahkan kebimbangan mengenai penurunan jumlah bantuan yang disalurkan kepada rakyat Gaza.
Hakikatnya kata Nurul Ain, ribuan rakyat Palestin masih memerlukan bantuan bekalan asas termasuk air bersih dan makanan.
Dia turut berkongsi usaha anak saudaranya untuk menghantar makanan kepada datuknya di Gaza gagal apabila makanan itu dicuri di tengah jalan.
“Akibatnya, keluarga mertua saya seramai enam orang tidak mempunyai juadah berbuka puasa semalam.
“Ramai beranggapan bantuan tidak lagi diperlukan, sedangkan hakikatnya keadaan masih kritikal. Dana infak yang kami kumpulkan tidak mencukupi walaupun untuk makanan harian kerana hanya mampu bertahan untuk satu atau dua hari sahaja,” katanya.
Nurul Ain berkata, harga makanan di Gaza yang meningkat tiga kali ganda dan memburukkan lagi keadaan apabila ramai penduduk sukar mendapatkan keperluan asas.
“Bagaimanapun, kami bersyukur dengan gencatan senjata ini kerana sekurang-kurangnya dapat menyambut Ramadan dan menunaikan solat tarawih tanpa mendengar bunyi bom,” katanya.











