JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa menurun kepada 10,630 orang setakat 12 tengah hari ini, berbanding 13,089 yang direkodkan pada pukul 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sebanyak 68 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di enam daerah terjejas.
“Johor Bahru mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 5,550 orang di 27 PPS, diikuti Pontian (1,954), Kluang (1,839), Kulai (968), Batu Pahat (211) dan Kota Tinggi (108).
“Tiga sungai masih berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lenik, Sungai Kahang dan Sungai Pulai, manakala tiga jalan utama masih ditutup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan tiada amaran hujan lebat dikeluarkan hari ini, memberi harapan keadaan banjir semakin pulih. – UTUSAN