KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan untuk membatalkan nama mereka daripada permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Semakan kehakiman itu adalah berhubung tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadap Mukhriz yang menuntutnya membayar cukai tambahan melebihi RM5 juta.
Berdasarkan notis permohonan yang difailkan pada 7 Mac lalu, Anwar dan kerajaaan menyatakan semakan kehakiman berkenaan berbangkit daripada keputusan LHDN untuk mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan kepada Mukhriz.
Ia membabitkan Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 berjumlah RM2,558,875.90; bagi tahun 2018 berjumlah RM2,445,004.91; dan tahun 2019 berjumlah RM16,826.37.
Pada 2 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini memberikan kebenaran kepada Mukhriz untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu terhadap responden pertama, LHDN bagi mengisytiharkan notis tambahan itu adalah terbatal, ultra vires, dan menyalahi undang-undang.
Menurut Anwar dan kerajaan yang dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga dalam permohonan semakan itu, relif lain yang dimohon Mukhriz termasuk terhadap mereka tidak dibenarkan oleh mahkamah.
“Oleh itu, penamaan pemohon (Mukhriz) terhadap kami kini adalah jelas mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan adalah jelas suatu penyalahgunaan proses mahkamah ini.
“Sehubungan itu, ini adalah suatu tindakan yang jelas tidak boleh dikekalkan dan wajar dibatalkan oleh mahkamah,” kata mereka.
Selain memohon agar nama mereka dipadamkan, Anwar dan kerajaan juga memohon semua prosiding dalam semakan kehakiman itu ditangguhkan sehingga permohonan berkenaan (untuk batalkan nama) didengar dan dilupuskan, kos serta perintah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Pada 2 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memberi kebenaran kepada Mukhriz untuk memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan.
Mukhriz, 60, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Disember tahun lalu dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Anwar dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) mengeluarkan notis taksiran tambahan berkenaan.
Mukhriz juga memohon perisytiharan bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.
Bekas Menteri Besar Kedah itu juga memohon perisytiharan, responden kedua (Anwar) telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan LHDN mengeluarkan notis taksiran tambahan dan menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan ia mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967. – UTUSAN