MELAKA: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terselamat daripada menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam membenarkan penangguhan hukuman penjara setahun dan denda berjumlah RM80,000.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Fadzlie Izwan Che Johari, 38, atas kesalahan memberi suapan sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori lebih muatan, enam tahun lalu.
Katanya, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan dan tidak dapat mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan lapan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan rasuah berjumlah RM4,250 kepada anggota JPJ lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan lori melebihi muatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Januari 2019 dan 31 Disember 2020.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap lapan pertuduhan serta memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.
Mahkamah membenarkan permohonan tertuduh menangguhkan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan dengan syarat pihak pembelaan memfailkan notis rayuan serta-merta dan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM22,000.










