Aidilfitri: Hari kemenangan dan ikuti sunnah Nabi

Aidilfitri: Hari kemenangan dan ikuti sunnah Nabi

USTAZ ZAKHIR ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIDILFITRI atau Hari Raya Fitrah bukan sekadar hari meraikan kemenangan setelah sebulan menunaikan fardu wajib – berpuasa. Hari mulia ini adalah manifestasi kesyukuran manusia terhadap Allah SWT di atas segala rahmat dan petunjuk-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 185 menegaskan tujuan utama Ramadan sebagai fardu wajib kepada umat Muslim melengkapkan ibadah puasa dengan tertibnya dan membesarkan Allah SWT dengan penuh kesyukuran.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Mudir Pondok Belida Jelor, Ustaz Zakhir Zakaria berkata, di sebalik kegembiraan menyambut hari raya, manusia sering terleka dengan perkara yang boleh merosakkan keberkatan Aidilfitri.

 

USTAZ ZAKHIR ZAKARIA
Usia: 52 tahun
Asal: Kampung Jelawat Bachok, Kelantan
Sejarah Pendidikan:
 Sekolah Agama Arab Sri Nipah, Bachok, Kelantan
 Pondok Kerandang, Jertih, Terengganu (Babo Najmudin)
 Hafiz al Quran dan Pengajian Kitab -Jamia Bonori Town, Karachi, Pakistan
 Berguru dan bertalaqi dengan Babo Mat Senawar, Haji Hashim Surat di Mekah.
Tugas hakiki:
Pengasas dan Mudir Pondok Belida, Madrasah Tahfiz Darul Ulum, Bukit Gedombak, Pasir Puteh, Kelantan (bermula 2017)

 

Justeru, katanya, menilai kembali tertib menyambut hari mulia ini agar ia benar-benar selari dengan syariat Islam adalah perlu dengan meneladani apa yang dilakukan Rasulullah SAW.

“Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik. Sembilan sunnah yang dianjurkan boleh diikuti demi mendapat barokah hari kemenangan yang kita rayakan tanpa mencampur aduk dengan perkara-perkara melampau atau berlebihan.

“Perkara pertama adalah bertakbir yakni sunnah yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri. Amalan takbir bermula dari malam raya hingga sebelum solat Aidilfitri. Amalan ini melambangkan kesyukuran manusia dengan memuji kebesaran Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Pondok Belida atau dikenali sebagai Madrasah Tahfiz Darul Ulum, Kelantan baru-baru ini.

Zakhir berkata, menghidupkan malam raya dengan ibadah bersandarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam raya dengan beribadah, hatinya tidak akan mati pada hari kiamat” (Hadis Riwayat Ibn Majah).

Katanya, tidak digalakkan menyambut kehadiran satu Syawal dengan dentuman mercun yang melambangkan kemewahan dan pembaziran, seharusnya diisi dengan zikir dan tahmid serta solat sunat tasbih.

“Pada paginya disunatkan mandi sunat dan memakai pakaian baik serta mengenakan wangian sebelum menunaikan solat hari raya. Makan sebelum solat Hari Raya adalah dianjurkan berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari bahawa Rasulullah SAW tidak keluar untuk solat Aidilfitri sehingga baginda makan beberapa biji tamar dalam jumlah ganjil.

“Orang ramai disunatkan datang awal ke surau atau masjid, manakala imam disunatkan datang sedikit lewat. Berdasarkan sirah, Rasulullah SAW mengamalkan pergi ke tempat solat melalui satu jalan dan pulang melalui jalan lain sebagai satu sunnah yang tersirat fadilatnya, diajarkan kepada umat Islam,” katanya.

Zakhir berkata, menzahirkan keceriaan dan kegembiraan amat dianjurkan dengan amalan saling menziarahi, bermaaf-maafan, mengeratkan silaturrahim terutama dalam lingkungan ahli keluarga dan jiran terdekat serta sahabat handai.

“Teruskan amalan mulia yang dilaksanakan sepanjang Ramadan termasuk bersedekah dengan memberi bantuan kepada fakir miskin pada pagi hari raya dan menyantuni kanak-kanak yang bertamu. Lebih mulia lagi, kita tidak lupa lebih awal memuliakan ibu bapa dan menyantuni anak-anak yatim piatu,”katanya.

Paling utama juga, katanya, menjaga adab pergaulan tanpa lupa batas syariat, seperti tidak bersalaman dengan bukan mahram dan berpakaian menutup aurat.

Namun, tegur Zakhir, di sebalik kegembiraan Aidilfitri, ada segelintir yang terleka dan menyambutnya dengan cara bertentangan dengan ajaran Islam termasuk terlalu sibuk dengan persiapan duniawi sehingga melupakan ibadah.

“Malam raya dihabiskan dengan hiburan berlebihan. Pakaian pula lebih kepada mengikut trend berbanding menepati tuntutan menutup aurat.Selain itu, pembaziran juga menjadi kebiasaan. Berbelanja berlebihan untuk makanan, pakaian, dan hiasan rumah sehingga membebankan diri sendiri.

“Islam tidak melarang untuk berhias dan bergembira, tetapi biarlah dalam batas kemampuan dan tidak berlebihan. Kita perlu ingat bahawa Aidilfitri sepatutnya mendidik kita untuk lebih bersyukur, bukan untuk bermegah-megah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN