70 peratus kemasukan MRSM, SBP mesti pilih STEM

70% kemasukan MRSM, SBP kena pilih STEM

ANWAR Ibrahim menyampaikan trofi kepada Muhamad Guntor Mansor Tobeng selepas menyumbang RM100,000 untuk tabung wakaf bersempena Majlis Peluncuran Wakaf Madani Mara sempena sambutan Hari Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Kerajaan menetapkan syarat baharu supaya 70 peratus kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP) tingkatan empat mesti aliran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mulai tahun depan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat memandangkan minat pelajar Melayu terhadap STEM semakin merosot yang tidak sejajar dengan dasar baharu negara yang memfokuskan kecerdasan buatan (AI).

“Bermula tahun depan, semua MRSM dan SBP, 70 peratus ambilan baharu mesti aliran STEM. Kita perlu mengambil langkah segera supaya minat anak kita mengambil STEM bertambah. 

“Minat pelajar Melayu dalam STEM merosot, tetapi ekonomi melonjak, AI menjadi dasar negara, pusat data bercambah dalam negara serta minat pelabur juga sangat membanggakan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani sempena sambutan Hari Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke-59 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Meskipun wujud perasaan kurang senang daripada pihak ibu bapa atau gesaan parti politik, Anwar tetap yakin dengan pembangunan aliran STEM demi masa depan anak bangsa.

“Apa sahaja disiplin teknologi baharu seperti Microsoft, Google, Infineon dan Nvidia, soalnya di mana kita meletakkan keutamaan jaminan demi masa depan Melayu.

“Kita masih terbelit dengan isu lama. Isu yang menakutkan bangsa dan kaum, yang mengheret kita berdebat tanpa penyelesaian. Kita membicarakan soal agama yang tidak membantu mengangkat harakat Muslim,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar melancarkan Wakaf Mara Madani, sebahagian inisiatif direncana bagi memartabat agenda Melayu dan Bumiputera.

Pengasas Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng menyumbang wakaf tunai berjumlah RM100,000 kepada Wakaf Mara Madani.

Mengulas lanjut wakaf berkenaan, Anwar berkata, inisiatif itu akan mengangkat kekuatan ekonomi Melayu dan bumiputera di samping berupaya memberikan kedudukan lebih lumayan pada masa depan.

Sementara itu, Anwar mengingatkan semua pihak tidak mempolemikkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) hingga mengelirukan orang Melayu.

Katanya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan untuk menambah baik dasar sedia ada demi kelangsungan hidup kaum itu di bandar.

“Mereka menentang ini adalah orang Melayu, menggunakan nama parti Melayu dan Islam. Apakah pernah mencadangkan sesuatu untuk membantu orang Melayu? Jawapannya, tidak ada,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×