601 banduan boleh berhari raya dengan keluarga

601 banduan boleh berhari raya dengan keluarga

SEORANG banduan memeluk ahli keluarga yang menunggunya selepas mendapat Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Aidilfitri di Penjara Kajang, Selangor, semalam. UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Keluarga 601 banduan dari 34 institusi penjara seluruh Malaysia mendapat khabar gembira apabila semua mereka dibebaskan dan boleh berhari raya bersama keluarga.

Semua mereka dipilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Zainah Pardi berkata, daripada jumlah itu, seramai 25 orang merupakan banduan dari Penjara Kajang.

Katanya, jumlah paling ramai melibatkan banduan dari Penjara Kluang, Johor iaitu 68 orang dan hanya seorang banduan dari Penjara Sungai Petani, Kedah.

“Daripada jumlah itu, seramai empat orang adalah banduan wanita. Banduan paling muda berumur 21 tahun dan paling tua berusia 68 tahun. 

“Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Ihsan Madani yang bertujuan memperkukuh hubungan ke­keluargaan dan memberi peluang kedua kepada banduan yang menunjukkan perubahan positif. 

“Jabatan Penjara percaya setiap individu berhak mendapat peluang untuk memperbaiki diri dan kembali berbakti kepada masyarakat. Ia juga merupakan usaha menyokong pemulihan banduan secara holistik,” katanya pada sidang akhbar sempena program PBSL di Penjara Kajang semalam.

Zainah berkata, PBSL melibatkan banduan yang menjalani hukuman tiga tahun dan ke bawah dengan sebahagian besar ditempatkan bekerja di syarikat swasta serta menerima gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Katanya, pelaksanaan PBSL sempena Aidilfitri ini melibatkan institusi penjara di seluruh negara dan kesemua banduan yang dibebaskan akan dipantau secara berterusan.  

“Seramai 52 pegawai parol daerah akan membuat pemantauan terhadap OBB di seluruh negara.  

“Ini bagi memastikan mereka mematuhi disiplin ditetapkan, berkelakuan baik, tidak melakukan perkara yang boleh membuatkan lesen ditarik balik serta tidak boleh keluar dari daerah yang ditetapkan,” katanya. 

Mengenai tempoh menjalani PBSL, beliau berkata, setiap OBB akan menjalani program itu bergantung kepada baki hukuman yang masih perlu dijalani. 

“Tempoh paling singkat bagi PBSL adalah 10 hari, manakala tempoh maksimum adalah dua tahun.   

“OBB yang terpilih mestilah melepasi fasa pemulihan dalam penjara, berkelakuan baik, sihat dan layak bekerja,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN