KUALA LUMPUR: Hampir 5,000 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda polis (MPV) akan digerakkan secara optimum di seluruh negara bagi memperketat kawalan keselamatan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, rondaan akan dipergiatkan khususnya di kawasan perumahan yang ditinggalkan penghuni serta lokasi tumpuan jenayah.
Menurutnya, pemantauan lebih ketat akan dibuat terhadap rumah-rumah yang didaftarkan dalam sistem Volunteer Smart Phone (VSP) atau melalui laporan pemilik di balai polis berhampiran.
“Kawalan akan dipertingkatkan dengan kekuatan 1,800 anggota URB dan kira-kira 3,000 MPV yang akan melaksanakan rondaan 24 jam secara berterusan.
“Bagi pemilik kediaman yang memaklumkan kepulangan mereka ke kampung menerusi VSP, pasukan peronda akan membuat pemeriksaan berkala di lokasi terlibat.
“Kawasan kilang serta lokasi panas jenayah juga akan turut dipantau susulan maklumat yang diterima daripada orang awam,” katanya pada sidang akhbar program Keselamatan Jalan Raya di Petron MRR2 Selayang, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kekerapan rondaan di sesuatu kawasan bergantung kepada tahap risiko jenayah di lokasi tersebut.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat pemakluman awal kepada pihak polis berhubung pergerakan mereka sama ada menerusi VSP atau secara manual di balai polis.
“Maklumat yang perlu diberikan termasuk tarikh mula perjalanan dan tarikh dijangka pulang bagi membolehkan pihak polis merangka rondaan di kawasan terlibat,” katanya. – UTUSAN