2,000 pelita terangi Kampung Jelempok

Penduduk Kampung Jelempok kumpul RM6,000 buat 2,000 pelita panjut

PENDUDUK tidak melepaskan peluang merasai suasana seluruh kampung diterangi limpahan cahaya lebih 2,000 pelita di Kampung Jelempok, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Laluan sepanjang 1.5 kilometer memasuki Kampung Jelempok di sini termasuk rumah-rumah penduduk diterangi dengan limpahan cahaya lebih 2,000 pelita yang menghidupkan kembali tradisi pemasangan pelita panjut menjelang sambutan Aidilfitri.

Projek pelita raya Kampung Jelempok yang julung kali diadakan ini adalah hasil inisiatif penduduk kampung yang bergotong-royong mengumpul dana, mencari buluh, dan memasang pelita, menjadikan suasana lebaran lebih meriah dan penuh nostalgia.

Pengarah projek, Aiman Muhaimin Purkhan, 28, berkata sejak seminggu sebelum Ramadan, penduduk bekerjasama mencari 800 batang buluh di sekitar kampung sebelum menyiapkan dan memasang pelita secara gotong-royong.

“Kami berjaya mengumpulkan RM6,000 hasil sumbangan penduduk dan syukur ia berjalan lancar. Dari anak muda hingga warga emas, semua sepakat menjayakan projek ini.

“Melihat kepada kejayaan ini, Insya-Allah, kami akan teruskan setiap tahun,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim, memuji kesungguhan anak muda dan komuniti Kampung Jelempok yang berjaya menghidupkan kembali tradisi pemasangan pelita panjut.

Menurutnya, projek ini bukan sahaja menyemarakkan suasana Aidilfitri tetapi juga menyatukan masyarakat kampung.

“Ini kali pertama pemasangan pelita dilakukan secara besar-besaran di Perlis. Melihat kepada sambutan luar biasa ini, kita bercadang menjadikannya sebagai pertandingan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa hadapan.

“Selain memeriahkan Aidilfitri, ia juga mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk,” katanya.

Sementara itu, lebih 500 penduduk teruja menyaksikan kampung mereka bercahaya indah, menambahkan lagi kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya