KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan sebanyak RM3.4 juta kepada 13 koperasi di Terengganu melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan sepanjang tahun lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amran Abd. Kadir berkata, bantuan tersebut membuktikan gerakan koperasi di Terengganu berpotensi terus berkembang dengan sentiasa memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan.
Katanya, pada tahun lalu juga, sebanyak RM1.194 juta diagihkan kepada 18 buah koperasi di Terengganu melalui lapan program bantuan antaranya Bantuan Pembangunan sebanyak RM746,000 dan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) sejumlah RM175,000.
“Semua inisiatif ini diwujudkan di peringkat kementerian bagi membantu gerakan koperasi terus berkembang pesat setanding dengan sektor-sektor lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Koperasi Peringkat negeri di sini, semalam.
Katanya, SKM menggalakkan setiap koperasi yang menjalankan aktiviti dalam sektor keselamatan makanan untuk membuat permohonan pembiayaan di bawah Program Agromakanan. – UTUSAN