PUTRAJAYA: Tiga selebriti tanah air termasuk Ziana Zain, Datuk Jalaluddin Hassan dan Sheikh Muszaphar Shukor selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan Op Sky.
Mereka dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 3 petang tadi dengan kenderaan masing-masing.
Terdahulu, tiga selebriti itu memberi keterangan lebih lima jam kepada SPRM bermula pukul 10 pagi tadi dan berakhir pukul 2.45 petang.
Ketiga-ketiga mereka dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan yang ditumpaskan menerusi Op Sky.
Usaha mendapatkan kenyataan ketiga-tiga selebriti itu gagal kerana mereka tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya meluru laju meninggalkan Ibu Pejabat SPRM.
Terdahulu dilaporkan, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Op Sky.
Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam. –UTUSAN










