KUALA LUMPUR: Pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran minuman keras serta rokok tidak bercukai dalam operasi besar-besaran di Keningau, Sabah, dengan nilai rampasan mencecah RM4.45 juta
Dalam serbuan yang dilaksanakan pada 3 Februari lalu, pasukan terdiri daripada Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Keningau telah menyerbu tiga premis yang dipercayai menjadi pusat operasi penyeludupan tersebut.
Hasil operasi itu, lima individu termasuk seorang lelaki tempatan dan empat warga Indonesia telah ditahan.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, sindiket itu dipercayai bergerak aktif di sekitar Keningau dan kejayaan ini merupakan satu tamparan hebat kepada rangkaian penyeludupan yang mengancam hasil negara.
“Serbuan tersebut berjaya merampas sejumlah 4,525 karton minuman keras pelbagai jenama serta 5,920 karton rokok seludup. Selain itu, dua van, dua lori dan tiga telefon bimbit turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tidak bercukai serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, secara keseluruhan dalam tempoh 1 Januari hingga 3 Februari 2025, PDRM melalui WCB/PSK telah menjalankan 46 serbuan di seluruh negara dan menahan 51 individu atas pelbagai kesalahan penyeludupan dan merampas barangan bernilai RM181.25 juta.











