KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu menjelaskan sama ada kargo petroleum yang diisytiharkan di bawah prosedur Kastam K8 boleh dicampur atau dikisar dengan inventori sedia ada dalam tangki simpanan darat.
Pakar industri maritim Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, isu itu membabitkan dua kargo petroleum berjumlah 76,954.325 tan metrik Atlanta Crude, bernilai lebih RM220 juta, yang dipunggah di Tanjung Langsat, Johor, di bawah prosedur Kastam K8.
Katanya lagi, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), namun dimaklumkan bahawa perkara itu hanya boleh ditentukan oleh pihak Kastam, menyebabkan beliau masih menunggu keputusan bertulis daripada pihak berkuasa berkenaan.
“Saya telah mendapatkan penjelasan daripada MIDA, namun MIDA memaklumkan bahawa perkara ini hanya boleh ditentukan oleh Kastam. Jadi, saya masih dalam keadaan tidak pasti kerana belum menerima penentuan bertulis daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab menentukan layanan Kastam terhadap kargo berkenaan,” katanya.
Jeyenderan yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri itu berkata, JKDM perlu menyatakan dengan jelas sama ada kargo yang diisytiharkan di bawah K8 boleh dicampur atau dikisar dengan inventori petroleum sedia ada dalam tangki simpanan darat dan, jika dibenarkan, apakah syarat, dokumentasi serta keperluan kawal selia yang perlu dipatuhi.
“Jika pencampuran atau pengisaran dibenarkan, Kastam perlu menyatakan dengan jelas asas, syarat dan dokumentasi yang diperlukan. Jika tidak dibenarkan, industri juga perlu dimaklumkan mengenai prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya.

Jeyenderan menegaskan permintaannya itu bukan satu dakwaan bahawa mana-mana pihak telah melakukan pencampuran kargo secara tidak sah, sebaliknya sama ada pencampuran atau pengisaran berlaku perlu ditentukan berdasarkan rekod dan bukti berkaitan.
Menurut laporan Maritime Network, dua kargo berkenaan masing-masing terdiri daripada 34,903.062 tan metrik yang dibawa MT Marlin Santorini pada Januari dan 42,051.263 tan metrik yang dibawa MT Invictus pada Mac, dengan laporan itu turut mengenal pasti beberapa tangki simpanan di DIALOG Terminals Langsat (DTL).
Katanya, kebimbangan utama adalah mengenai kebolehkesanan kargo, khususnya bagaimana pihak berkuasa dan pihak berkaitan dapat menentukan pergerakan kargo selepas ia dimasukkan ke dalam tangki yang mengandungi inventori sedia ada, termasuk sebarang pergerakan, pencampuran atau pengisaran selepas itu.
Katanya, rekod berkaitan sepatutnya dapat menunjukkan jumlah kargo yang dimasukkan ke setiap tangki, inventori sedia ada, pergerakan produk, spesifikasi makmal serta jumlah yang kemudiannya dikeluarkan atau dipindahkan, bagi membolehkan satu rantaian dokumentasi yang lengkap diwujudkan.
Beliau turut berkata penentuan bertulis daripada Kastam penting bagi mengelakkan syarikat terdedah kepada ketidakpastian pada masa hadapan sekiranya nasihat berkaitan peraturan hanya diberikan secara lisan dan pegawai yang memberikan nasihat itu kemudiannya bertukar atau bersara.
“Kami meminta kejelasan, bukan keputusan tertentu. Jika pihak berkuasa menyatakan prosedur itu mematuhi peraturan, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas. Jika terdapat keperluan tambahan, ia juga perlu dikenal pasti,” katanya.-UTUSAN











