KUALA LUMPUR: Hampir RM92 juta dibelanjakan bagi membendung dan melawan wabak HIV yang menular di negara ini.
Laporan Pemantauan AIDS Global (Malaysia) 2024 mendapati, sebanyak RM91,995,021 (RM92 juta) dibelanjakan pada 2023 iaitu lebih RM2 juta untuk merawat penghidap HIV atau mencegah penyakit berkait rapat dengan kelamin itu menular dan menghantui lebih ramai individu.
Laporan tersebut mendedahkan, dari jumlah keseluruhan tersebut, 88 peratus atau RM80,581,564 (RM80.6 juta) dana awam domestik, RM4,775,294 membabitkan dana swasta domestik dan RM6,638,162 pula datang daripada peruntukan antarabangsa.
Majoriti peruntukan tersebut iaitu sebanyak RM69,445,622 (RM69.44 juta) digunakan untuk memberikan rawatan dan penjagaan kepada penghidap HIV, sementara RM12,766,903 (RM12.77 juta) digunakan untuk menghalang penyakit tersebut daripada menular.
Ia menunjukkan HIV boleh menular dengan mudah sekiranya pengetahuan tentang penyakit tersebut tidak diberikan kepada golongan muda atau mereka yang berpotensi menghidap penyakit berkaitan kelamin itu.
Ini kerana, tinjauan yang dilakukan pada 2023 mendapati, hanya 11 peratus remaja Malaysia berumur 15 ke 24 tahun, memahami dengan tepat bagaimana untuk mencegah penyakit HIV dan memiliki bagaimana penyakit tersebut menular.
Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, pemahaman terhadap penyakit HIV adalah amat penting.
Kata beliau, orang yang hidup dengan HIV mungkin memilih menyembunyikan status mereka kerana beberapa faktor termasuk stigma dan diskriminasi yang masih meluas dalam masyarakat.
Katanya, ketakutan dikecam atau dijauhi oleh keluarga, rakan dan kominiti sering mendorong penghidap HIV untuk merahsiakan keadaan mereka.
“Selain itu, kebimbangan terhadap kehilangan sokongan sosial serta risiko diskriminasi dalam pekerjaan, pendidikan, atau akses kepada perkhidmatan kesihatan juga memainkan peranan.
“Kurangnya pengetahuan tentang hak dan sokongan yang tersedia, serta trauma emosi selepas didiagnosis, boleh menyebabkan mereka memerlukan masa untuk menerima keadaan ini sebelum berani berkongsi status,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Adeeba berkata, tindakan menyembunyikan status itu boleh mencetuskan kebimbangan terutama apabila langkah berjaga-jaga tidak diambil kerana penularan penyakit HIV boleh berlaku melalui cecair tubuh mengandungi virus.
“Ia seperti semasa hubungan seksual tanpa perlindungan, perkongsian jarum suntikan tercemar, atau pemindahan darah yang tercemar. HIV juga boleh menular dari ibu kepada anak semasa kehamilan, kelahiran, atau penyusuan jika tiada rawatan pencegahan dilakukan.
“Oleh itu, itu, amat penting bagi orang yang hidup dengan HIV untuk menerima rawatan yang betul dan mengambil langkah pencegahan agar tidak menularkan virus kepada orang lain,” katanya.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, sebanyak 90 peratus daripada 85,283 penghidap HIV di negara ini merupakan golongan lelaki berbanding wanita hanya 10 peratus.
Mengulas lanjut, Dr. Adeeba berkata, masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan menghapuskan stigma terhadap HIV melalui pendidikan, kempen kesedaran dan penyediaan sokongan emosi.
“Dengan ini, penghidap HIV boleh merasa lebih selamat untuk tampil, mendapatkan rawatan dan menjalani kehidupan tanpa diskriminasi, sambil memastikan mereka tidak menjadi punca penularan kepada orang di sekeliling mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, kajian terkini dalam rawatan HIV menunjukkan kemajuan dengan pembangunan terapi antiretroviral (ART) yang lebih berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang minimum, sekali gus meningkatkan kualiti hidup pesakit.
“Salah satu inovasi terkini ialah rawatan suntikan jangka panjang seperti cabotegravir dan rilpivirine diberikan setiap empat hingga lapan minggu bagi menggantikan pil harian serta membantu mengekalkan tahap virus tidak dapat dikesan dalam darah,” katanya.-UTUSAN











