KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan melaksanakan program penamatan pekerja berikutan tekanan pasaran global yang tidak lagi mampu ditanggung oleh syarikat minyak kebangsaan itu.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kumpulan Petronas itu harus menerima hakikat bahawa perubahan radikal perlu dilakukan oleh Petronas untuk berdaya maju.
Katanya, tempoh masa yang ada untuk Petronas berubah dan melakukan transformasi perlu berlaku sekarang atau masa depan dalam persekitaran sedia ada adalah gelap.
“Jika tidak dilakukan perubahan mengikut apa yang berlaku di luar negara dan seluruh dunia, Petronas tidak akan lagi viable (berdaya maju).
“Jika ia tidak dilakukan sekarang, mungkin Petronas tidak akan dapat menyambut ulang tahun ke-60,” katanya dalam penerangan kepada pengarang media tempatan di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Beliau berkata, perubahan seperti perundangan, portfolio yang dikehendaki oleh pasaran, saingan baharu dan keperluan kepada tenaga baharu.
Menurutnya, pendigitalan menyeluruh dan kecerdasan buatan dilaksanakan oleh Petronas juga menjadikan sebahagian tugas bertindih.
Katanya, Petronas yang kini berusia 50 tahun sama ada akan mempunyai masa depan bergantung kepada keupayaan syarikat untuk berubah.
Beliau berkata, Petronas adalah juga sebuah syarikat dan bertanggungjawab untuk menjana pendapatan kepada negara dan ekonomi.
“Kita harus berubah seperti mana-mana syarikat atau berisiko kita akan lumpuh.
“Kami perlu berubah dan harus menjadi energy superstore,” katanya sambil menambah perubahan itu akan menyebabkan jawatan baharu diwujudkan tetapi pada masa sama kerja yang tidak lagi diperlukan akan ditamatkan.
“Kita sedar jika kita tidak lakukan sekarang, atau tunggu antara empat hingga lima tahun, kita akan terlalu lewat dan tidak dapat lakukan lagi.
“Petronas ialah syarikat dan perlu menjana nilai. Kami harus pastikan Petronas masih berdaya maju,” katanya sambil berharap perubahan di Petronas adalah menyeluruh.
Petronas menyumbang RM1.5 trilion dalam pelbagai bentuk cukai termasuk dividen kepada kerajaan serta cukai berkaitan kepada ekonomi Malaysia.
Petronas ketika ini menggaji 52,000 pekerja dan program “right sizing” (penyesuaian saiz) jumlah pekerja diperlukan yang dijangka diselesaikan menjelang separuh tahun kedua tahun ini.
Muhammad Taufik memberi amaran jika tidak berubah, Petronas akan menjadi seperti sesetengah syarikat minyak negara yang gagal.
Katanya, jumlah kakitangan yang terbabit dalam penstrukturan akan ditetapkan selepas semua kajian dalaman dilakukan.
Beliau juga memberi jaminan sebarang urusan penstrukturan termasuk penamatan jawatan akan dilakukan dengan adil, telus dan berdasarkan kepakaran.
“Saya bertanggungjawab untuk memastikan Petronas berdaya maju untuk melepasi 60 tahun,” katanya.-UTUSAN










