KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang dibuat di bawah Seksyen 30 Akta Kehakiman 1964 adalah tidak bermerit.
“Mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan pemohon kerana tiada isu Perlembagaan yang berbangkit dalam kes ini dan prinsip keadilan asas terhadap pemohon masih terjamin di sisi undang-undang,” kata hakim itu.
Pada 29 Februari lalu, Na’imah memfailkan notis usul untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kepada Mahkamah Tinggi.
Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) ASPRM melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan dan hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan yang akan digunakan dalam prosiding terhadapnya serta hak dirinya untuk mendapat perbicaraan adil.
Ketika membaca keputusan ringkasnya, Azura berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa permohonan oleh Na’imah adalah tidak berasas, mengganggu dan menyalahgunakan proses mahkamah.
“Tiada isu yang masih relevan atau mempunyai kaitan langsung dengan perkara yang dipertikaikan atau tuduhan di hadapan mahkamah ini bagi pertimbangan.
“Petikan daripada hansard yang merupakan Penyata Rasmi Parlimen jelas menunjukkan rasional di sebalik penggubalan peruntukan undang-undang bagi membanteras jenayah rasuah, menjalankan penyiasatan dan merekod keterangan saksi-saksi, dengan mengambil kira keunikan dalam kes rasuah,” katanya.
Susulan penolakan itu, mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan kes yang dijadualkan berlangsung selama sembilan hari bermula 19 November ini sehingga 5 Februari 2026.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan seramai 11 saksi sepanjang perbicaraan kes itu dijalankan.
Antara saksi yang akan dipanggil termasuk pegawai bank, saksi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pegawai Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pada 23 Januari lalu, Na’imah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember tahun lalu.
Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz. Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Persiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail. – UTUSAN