PARLIMEN: Kaji tindakan terhadap pemilik kargo benarkan lori bawa muatan lebih had

PARLIMEN: Kaji tindakan terhadap pemilik kargo benarkan lori bawa muatan lebih had

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti dasar supaya pemilik kargo turut akan dikenakan tindakan sekiranya membenarkan kargo membawa muatan yang melebihi had.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana sebelum ini tindakan tersebut hanya dikenakan kepada pemandu dan pemilik syarikat pengangkutan sahaja. 

“Memang kita tidak ada kompromi terhadap pengendali yang angkut barangan berlebihan, memang betul Seksyen 57(3) dikenakan kepada pengendali syarikat itu.

“Bukan sahaja boleh digantung dan didakwa di mahkamah sehingga RM500,000 serta penjara tidak melebihi dua tahun malah boleh dilucutkan had beri pengendali ini supaya tidak bawa muatan lebihan, mesej kita jelas. 

“Kerajaan juga sedang meneliti dasar dimana pemilik kargo juga bertanggungjawab dan perlu menghadapi hukuman dan sebagainya sekiranya mereka membenarkan kargo membawa muatan yang berlebihan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. 

Terdahulu, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli (BN-Jempol) dalam soalan tambahannya meminta Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat terutamanya lori.

Mengulas lanjut, Anthony Loke turut berkata, sebanyak 247 Lesen Pengendali telah digantung pada tahun 2024 berbanding 101 pada 2023 dan 94 pada tahun 2022 sementara hanya lapan lesen pengendali digantung antara 2019 dan 2021.

“Selain itu, Kementerian Pengangkutan melalui APAD juga telah membatalkan tujuh Lesen Pengendali antara 2022 dan 2024 berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.

“Apabila Lesen Pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat tersebut tidak boleh beroperasi. 

“Antara syarikat yang Lesen Pengendalinya telah digantung termasuk sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan tegas dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan walaupun ke atas syarikat besar apabila berlakunya ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai di jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN