Op Hazard: Pemilik tanah akan dipanggil

Op Hazard: Pemilik tanah akan dipanggil

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM)  akan memanggil pemilik tanah membabitkan 47 kilang haram yang menjalankan kegiatan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan maklumat risikan, kilang-kilang ini didirikan di atas tanah persendirian atau tanah rizab kerajaan.

“Kita akan mengenal pasti pemilik tanah ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Ini bagi mengesan sama ada mereka sedar akan aktiviti yang berlaku di atas tanah mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan kilang-kilang ini dibiayai oleh pelabur asing, Azmi berkata, siasatan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti individu-individu terbabit.

“Apa yang pasti, penubuhan kilang-kilang ini memerlukan pelaburan yang besar.

“Kami akan bekerjasama dengan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Bukit Aman untuk mengesan sumber kewangan sindiket ini,” katanya.

Azmi turut memaklumkan bahawa pihak polis akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dalam menjalankan siasatan terhadap kilang-kilang haram ini.

Khamis lalu, media melaporkan PDRM merampas pelbagai sisa elektronik (e-waste) dianggarkan bernilai RM2.86 bilion melalui Op Hazard di seluruh negara pada 15 Februari lalu. 

Operasi dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta beberapa agensi lain telah menggempur 47 premis haram di seluruh negara. 

Azmi dilapor berkata, jumlah keseluruhan rampasan membabitkan kira-kira RM2.68 bilion e-waste seberat 22.9 juta kilogram selain 365 fasiliti antaranya mesin memproses, penimbang berat dan sebagainya dianggarkan bernilai RM83 juta. 

Katanya, dalam serbuan terbabit, pihaknya berjaya merampas 128 unit kenderaan dianggarkan bernilai RM29 juta dan lain-lain barangan antaranya minyak, plastik, blok memasak dan sebagainya dianggarkan berjumlah RM67.8 juta.

“Dalam serbuan Op Hazard, Briged Utara berjaya merampas pelbagai e-waste dianggarkan bernilai RM1.61 bilion; Briged Tengah (RM701.68 juta); Briged Tenggara (RM401.1 juta), Briged Sarawak (RM76.4 juta) dan Briged Sabah (RM65.1 juta). 

“Seramai 246 individu terdiri daripada 218 lelaki, 27 wanita dan seorang kanak-kanak turut ditahan membabitkan 70 warga tempatan, China (56); Myanmar (70), Bangladesh (28), Indonesia (15), Kemboja (4) dan Filipina (3), “ katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN