IPOH: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki 16 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Faiz Zaini, 37, yang juga seorang jurulatih badminton bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh kemaluan, meraba dada dan bahagian belakang badan mangsa selain mencium pipi bagi maksud seksual.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Seri Rapat, Ipoh pada pukul 7.15 petang, 20 Januari 2025 dan 2.30 pagi, 21 Januari 2025.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan jaminan namun sekiranya dibenarkan mahkamah, dicadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Muhammad Faiz yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum kerana memiliki pendapatan kecil.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 12 Mac depan.-UTUSAN










