Nazri perlu lihat tindakan Akmal dari sudut positif - Utusan Malaysia

Nazri perlu lihat tindakan Akmal dari sudut positif

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz seharusnya melihat dari sudut positif terhadap tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh yang telah membuktikan keberaniannya dalam memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, Nazri juga lahir daripada kilang Pemuda UMNO yang terkenal dengan membawa suara orang Melayu dan akar umbi.

Menurutnya, kenyataan-kenyataan Dr. Akmal sentiasa mencerminkan ketegasan dan prinsip perjuangan yang tidak berkompromi dalam mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

“Sebaliknya tindakan dan kenyataan Nazri kebelakangan ini dilihat lebih cenderung kepada kepentingan individu berbanding semangat perjuangan yang seharusnya dipegang oleh pemimpin yang pernah berada dalam barisan Pemuda UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Mohd Radhi Abdul Rahim dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Mohd Khairul Azam Alias.

Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) itu dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia mengakui pemimpin muda seperti Dr. Akmal secara am lebih cenderung mencari populariti terutama dalam isu stoking KK Mart.

Katanya, permohonan maaf pihak terlibat sudah memadai berbanding memanjangkan isu tersebut apabila menggesa boikot dilakukan yang disifatkan hanya mempopularkan diri sendiri.

Mohd. Farhan berkata, mereka percaya bahawa kepimpinan Pemuda UMNO di bawah Dr. Akmal perlu terus kukuh dalam memastikan suara generasi orang Melayu tidak diperkecil atau diselewengkan oleh pihak yang tidak memahami denyut nadi perjuangan rakyat yang sebenar.

“Kami menyeru agar seluruh ahli dan penyokong UMNO, khususnya golongan muda terus berdiri teguh bersama kepimpinan yang berani dan ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Malah kita sebagai orang parti perlu berdiri di atas landasan prinsip perjuangan parti yang sebenar dan bukannya tunduk kepada sebarang tekanan demi kepentingan peribadi,” katanya.

Ujar beliau, hanya dengan kepimpinan yang berprinsip dan tegas, UMNO akan terus relevan sebagai benteng utama perjuangan orang Melayu serta melihat segala pendekatan bagi mengembalikan kepercayaan orang melayu terhadap parti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN