KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sedia ‘bertempur’ dengan salah seorang ahli Parlimen DAP yang dipercayai merujuk kepada kenyataan pemimpin tersebut yang mempertikaikan kemunculan semula pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik dalam program di Perlis baru-baru ini.
Katanya, beliau melihat programnya di Perlis dipersoalkan di dalam media dan mungkin Ahli Parlimen DAP itu berhasrat kembali ‘bertempur’ dengannya dan Perlis sebagai mana dilakukan beberapa rakannya sebelum ini.
Ujar Mohd Asri, beberapa hal termasuk membabitkan DAP, beliau mengambil pendekatan diam masa ini kerana menghormati Perdana Menteri dan kestabilan negara.
“Saya melihat program saya di Perlis dipersoalkan dalam media. Saya rasa MP DAP (ahli Parlimen DAP) itu berhasrat untuk kembali ‘bertempur’ dengan saya dan Perlis seperti mana ‘gemulah politik’ Ramasamy dan beberapa rakannya dahulu pernah lakukan.
“Malah, beberapa hal termasuk membabitkan DAP, saya diam pada masa ini kerana menghormati Perdana Menteri dan kestabilan negara. Demikian juga saya ada beberapa kawan dalam kepimpinan DAP yang saya rasa menghormati sensitiviti rakyat negara ini.
“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, Insya-Allah saya akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika ‘gemulah politik DAP’ yang lepas menjualnya,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membangkitkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan Zakir yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.
Rayer membangkit perkara tersebut susulan laporan sebuah portal berita bahawa Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis, baru-baru ini.
Dalam pada itu, memetik laporan sebuah portal berita, ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle mempertahankan tindakan pihak berkuasa agama negeri itu memberi ruang kepada Zakir berceramah baru-baru ini.
Kata Rozaimi, hal ehwal agama Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan ia diketuai oleh sultan, kecuali bagi negeri tertentu seperti Wilayah Persekutuan.
Ujar beliau, ceramah dilakukan Zakir di Kangar baru-baru ini sudah mendapat kebenaran daripada Mufti Perlis dan isu berkaitan hal ehwal agama itu terletak dalam kuasa kerajaan negeri.
Baru-baru ini, Perlis menjadi tuan rumah untuk program Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis yang turut melibatkan ramai penceramah dan sarjana luar negara.
Program tersebut bertemakan al-Quran sebagai panduan ilahi itu turut melibatkan Zakir yang menyampaikan ceramah berkaitan al-Quran dan Sains moden. –UTUSAN










