KUALA LUMPUR: Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan tidak masuk akal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sangat kesal dengan kenyataan tersebut yang jelas melanggar hak asasi manusia, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta undang-undang antarabangsa.
“Kita bertegas bahawa Malaysia menentang dan tidak bersetuju dengan cadangan mengusir rakyat Palestin secara paksa kerana mereka sendiri sudah menyatakan pendirian untuk tidak berganjak dari tanah air mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) memintanya menyatakan bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang tindakan yang mencabuli hak mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah ini selari dengan pendirian Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin serta memperkukuh solidariti dengan negara-negara Islam lain bagi memastikan keadilan dan keamanan di rantau tersebut terus terpelihara.
“Kita akan terus menggesa komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran hak rakyat Palestin.
“Malaysia juga bersedia untuk bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta diplomatik dalam menangani isu ini,” katanya.-UTUSAN










