KLUANG: Kementerian Pendidikan menyasarkan tahun 2030 sebagai tempoh untuk menyelesaikan sistem sekolah satu sesi.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hingga kini hanya kira-kira 1,000 daripada 10,000 buah sekolah yang masih belum melaksanakan sistem satu sesi berikutan kepadatan pelajar di sekolah berkenaan.
Katanya, pembinaan sekolah baharu juga akan mempengaruhi penyelesaian itu dan kerajaan sudah pun menetapkan sasaran pembangunan sekolah-sekolah baharu selain baik pulih sekolah daif.
“Sebenarnya perkembangan pendidikan di negara ini bergerak sangat baik dan ada 9,000 lebih telah pun mencapai hasrat kita untuk satu sesi daripada lebih 10,000 yang masih lagi kita perlu uruskan.
“Namun, KPM juga perlu mengambil kira beberapa faktor kekangan seperti tempat, premis dan pengurusan sekolah,” katanya ketika ditemui dalam program INTAN Minister’s Conversation (IMC) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan, di sini hari ini.
Mengulas tentang hukuman rotan kepada pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah, Fadhlina berkata, itu adalah kuasa Guru Besar atau Pengetua serta Guru Disiplin sahaja dan sudah ada garis panduan tentang hukuman itu yang begitu jelas.
“Garis panduan itu sudah lama dan sepatutnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab yang memang dihadkan kepada mereka yang tertentu sahaja,” katanya. –UTUSAN











