Larangan tubuh anak syarikat kurangkan pembaziran

Larangan tubuh anak syarikat oleh agensi kerajaan kurangkan pembaziran

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Larangan penubuhan anak syarikat baharu oleh agensi kerajaan tanpa kelulusan peringkat tertinggi dapat mengurangkan pembaziran dan memastikan sumber negara digunakan secara optimum.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah tersebut adalah satu usaha proaktif dan perlu dalam memastikan kecekapan pengurusan kewa­ngan serta tadbir urus yang lebih telus dalam sektor awam.

Katanya, pihaknya menyokong penuh langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Langkah ini akan membantu mengurangkan pembaziran dan memastikan sumber negara digunakan secara optimum.

“Selain itu, penyeragaman agensi kerajaan dan rasionalisasi badan berkanun yang dicadangkan adalah langkah yang tepat ke arah memperkukuh institusi kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Anwar berkata, mana-mana agensi kerajaan tidak boleh lagi menubuhkan anak syarikat di bawahnya tanpa kelulusan peringkat ter­tinggi.

Katanya, ini kerana terlalu banyak syarikat berkaitan mencatatkan kerugian besar.

Mengulas lanjut, Jais berkata, kawalan ketat terhadap penubuhan anak syarikat baharu akan mengurangkan risiko ketirisan kewangan dan meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pengurusan sumber awam.

“Langkah ini akan menge­lakkan kewujudan anak syarikat yang tidak produktif atau bertindih fungsi, seterusnya mengurangkan beban kewa­ngan kepada kerajaan,” ujarnya.

Jais berkata, semua pihak perlu bekerjasama agar langkah-langkah itu dapat dilaksanakan dengan segera dan dipantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN