Keluarga desak siasat semula dalang kematian pelajar tahfiz

Keluarga desak siasat semula dalang kematian pelajar tahfiz

RUHANI Hussin menunjukkan gambar kenangan arwah anaknya di rumahnya di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Keluarga kepada seorang pelajar tahfiz yang ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di dalam tandas di sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, dekat sini kira-kira 12 tahun lalu, mendesak supaya siasatan semula dijalankan terhadap kes tersebut.

Mangsa, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang merupakan pelajar tahfiz tingkatan empat ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan tergantung di tandas asrama pada 14 Disember 2013.

Mayatnya dijumpai oleh penyelia asrama selepas menghidu bau dan hasil bedah siasat ke atas mangsa pada awalnya mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Keputusan Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 bagaimanapun memutuskan kematian mangsa adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Ibu kepada arwah Wan Ahmad Faris, Ruhani Hussin, 70, berkata, dia tetap memperjuang nasib anaknya selepas keputusan Mahkamah Koroner Kota Bharu dikeluarkan kira-kira sembilan tahun lalu.

Katanya, dia dan suaminya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 74, yakin bahawa anak sulungnya itu dibunuh.

“Meskipun kejadian sudah hampir 12 tahun lalu, saya tetap memperjuang nasibnya demi maruah keluarga saya. Jadi, saya minta polis menjalankan siasatan kerana Mahkamah Koroner memutuskan anak saya dibunuh.

“Saya tetap berdoa dan mengadakan solat hajat setiap hari agar Allah SWT menunjukkan kebenaran sekali gus berpihak kepada arwah Wan Ahmad Faris. Saya yakin dia tidak bunuh diri,” katanya di rumahnya di Kampung Bayu Lalang, di sini, semalam.

Terdahulu, dia menerima kunjungan daripada beberapa peguam diketuai Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk mengambil maklumat berkenaan kes itu daripada warga emas berkenaan.

Ruhani berterima kasih kepada pihak peguam yang mahu membantu kerana dia tidak mampu menanggung kos perbelanjaan memandangnya seorang pesara.

Katanya, sebelum ini dia sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Negara agar membuka semula siasatan kes membabitkan anaknya..

Ruhani berkata, dia amat hairan apabila kes anaknya menjadi sulit dan berharap polis menjalankan siasatan semula selepas keputusan Mahkamah Koroner Kota Bharu itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN