Kedi berpotensi jadi kerjaya tetap

Kedi berpotensi jadi kerjaya tetap

M. Ariwanathan (tiga dari kanan) bergambar bersama 24 kedi yang menerima sijil masing-masing pada Majlis Graduasi AMS Caddy Academy di Alor Gajah, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kerjaya sebagai kedi mungkin dianggap sesete­ngah pihak sebagai sambilan yang tidak mampu dijadikan sumber pendapatan utama namun tanggapan itu mungkin dianggap lapuk dan ketinggalan zaman.

Wakil Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) M. Ariwanathan berkata, hakikatnya kerjaya itu semakin mendapat tempat dalam kalangan belia dan remaja kerana mampu menjana pendapatan hingga ribuan ringgit sebulan.

Menurutnya, di sebalik pendapatan lumayan, golongan kedi juga berpeluang menimba ilmu permainan golf yang dikategorikan sebagai sukan elit dan berprestij tinggi.

Beliau berkata, selepas la­rangan pengambilan kedi warga asing yang mendominasi kelab golf di seluruh negara kerajaan telah mengambil inisiatif me­latih lebih ramai rakyat tempatan untuk memenuhi pasaran kedi dalam industri golf negara.

Jelasnya, oleh itu, pihak kementerian memperkenalkan kursus latihan jangka pendek menjadi kedi selama 10 hari kepada golongan belia dan remaja dengan kerjasama sebuah akademi kedi iaitu AMS Caddy Academy dan Persatuan Golf Malaysia (MGA).

“Kursus kedi adalah satu program yang unik dan kita nampak tidak pernah dijalankan mana-mana pihak dan sebenarnya menjanjikan peluang pekerjaan de­ngan pendapatan yang lumayan.

“Sekarang ini kita lihat kebanyakkan kelab golf di seluruh negara terlalu bergantung kepada kedi asing dan apabila kerajaan tidak lagi memberi permit ini ia memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda tempatan untuk menceburi kerjaya sebagai kedi,” ujarnya pada Majlis Graduasi AMS Caddy Academy di Alor Gajah Melaka baru-baru ini.

Kursus itu mendapat sambutan luar jangka dalam kalangan golongan belia dan remaja apabila seramai 24 kedi menerima sijil pada majlis berkenaan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak RM2.8 juta mengalir keluar dari negara pada setiap bulan ekoran tindakan kelab-kelab golf mengambil dan mengutamakan 1,740 pekerja asing untuk berkhidmat sebagai kedi tanpa permit sah dengan menganaktirikan pekerja tempatan.

Lebih mengejutkan, mereka yang ditempatkan di kelab-kelab golf, dipercayai menyalahi undang-undang negara ini apabila berkhidmat sebagai kedi tanpa permit pihak berkuasa.

Sementara itu Pengarah Urusan AMS Caddy Academy, Low Hock Kai berkata, kerjaya itu menjanjikan gaji yang melebihi kadar gaji minimum yang baru ditetapkan oleh kerajaan, berstruktur dan mempunyai perlindungan insuran.

Katanya, industri golf di negara ini kini amat memerlukan kedi tempatan kerana ingin mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan mewujudkan laluan kerjaya yang berdaya maju untuk bakat tempatan.

“Kami sasarkan untuk me­latih dan menempatkan sebanyak 2,300 kedi menjelang 2029 sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap tenaga kerja tempatan serta sokongan inisiatif Kesuma,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya