PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemas kini modul dan latihan keselamatan kepada pengawal keselamatan dan polis bantuan bagi menghadapi risiko ancaman di kompleks beli-belah.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden tembakan di tempat awam seperti di Setia Alam, Shah Alam baru-baru ini memberi satu perspektif berbeza kepada KDN terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya akan meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay supaya meneliti modul keselamatan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, semalam.
Selama ini katanya, PDRM yang melatih pengawal keselamatan dan polis bantuan dalam berdepan dengan pelbagai isu keselamatan di premis-premis awam.
Saifuddin berkata, sementara tugas rondaan berkala disandarkan kepada PDRM, tugas kawalan keselamatan termasuk di pusat beli-belah disandarkan kepada syarikat keselamatan berkenaan.
“Saya akan minta pegawai saya untuk bincang balik terutama dengan persatuan industri kawalan keselamatan supaya aspek ini dapat kita berikan fokus dan tumpuan,” katanya.
Dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada malam Sabtu lalu, seorang tukang cuci cedera ditembak. – UTUSAN










