PETALING JAYA: Ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu anak-anak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ibu bapa tidak boleh hanya mengharapkan guru untuk mengajar murid-murid kerana pembelajaran yang berkesan memerlukan kerjasama erat antara rumah dan sekolah.
“Guru di sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar menguruskan ramai murid termasuk memastikan aspek pembelajaran berjalan lancar.
“Oleh itu, ibu bapa perlu memberi sokongan tambahan di rumah seperti membaca bersama anak, memantau kerja rumah dan menggunakan bahan pembelajaran yang sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 122,062 murid atau 27.24 peratus dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas 3M.
Penemuan itu berdasarkan hasil saringan pengesanan awal literasi dan numerasi terhadap 448,113 murid Tahun Satu yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) seawal tiga bulan selepas mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesi akademik 2024/2025.
Dalam pada itu, Pakar Pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, dalam tempoh enam bulan pertama berada di tahun satu, murid-murid sepatutnya telah menguasai asas membaca dan mengira, termasuk mengenali huruf abjad dan angka asas.
Oleh itu, katanya, penguasaan dalam perkara itu mesti diselesaikan sebelum ke peringkat menengah,
“Murid-murid juga diandaikan telah mampu membaca serta menulis nama sendiri pada peringkat ini.
“Sekiranya masih ada masalah untuk menguasai 3M, lebih elok sekiranya ibu-bapa berjumpa dengan guru kelas dan berbincang, mungkin ada masalah lain yang melibatkan kesihatan seperti lembam,” katanya. – UTUSAN