Hukum cuci tandas untuk beri kesedaran

Hukum cuci tandas untuk beri kesedaran

NGA Kor Ming (tengah) merasmikan Taman Rekreasi Madani Woodlands II, Ipoh, Perak. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hukuman menjalani pe­rintah khidmat masyarakat kepada mereka yang disabitkan kesalahan membuang sampah di merata-rata tempat akan dilaksanakan pada tahun ini.

Hukuman itu termasuklah seperti kerja-kerja memotong rumput, mencuci longkang serta tandas selama 12 jam dengan mereka yang menjalani hukuman perlu memakai uniform dikhaskan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu penting bagi mengubah sikap masyarakat supaya Malaysia berada dalam keadaan yang bersih.

“Setelah hampir 40 tahun kita mempunyai Dasar Pandang Ke Timur, kini adalah masa yang tepat untuk memperkenalkan perundangan ini.

“Jangan buka tingkap kereta dan terus buang sampah. Ataupun sudah ada tong sampah, tetapi masih buang sampah ke dalam longkang. Kepada ‘ulat-ulat’ sampah seperti itu, tiada kompromi dalam soal kebersihan,” katanya kepada pemberita pada perasmian Taman Rekreasi Madani Woodlands II, Bandar Baru Tambun di sini, semalam.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang melaksanakan perintah tersebut melalui pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Mereka yang gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat boleh dikenakan denda RM2,000 hingga RM10,000.

Tambah Kor Ming, undang-undang itu penting me­man­dang­kan negara akan melak­sanakan Tahun Melawat Ma­laysia 2026 dengan sasaran jutaan pelancong asing.

Beliau berkata, langkah itu juga adalah satu reformasi pen­ting yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan semasa Sidang Dewan Rakyat sehingga 6 Mac ini.

“Sebaik sahaja Dewan Rakyat dan Dewan Negara luluskan. Kita akan menggazet undang-undang ini dan dilaksanakan di seluruh negara. Dijangkakan tahun ini.

“Di Malaysia tiada lagi yang buta huruf. Semua orang pergi sekolah selama 12 tahun. Jangan kata tidak tahu hendak buang sampah dalam tong sampah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×