KUANTAN: Kerajaan negeri dan agensi berkaitan digesa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Cherating Lama di sini, yang berlarutan sejak September tahun lalu.
Pengusaha chalet Kampung Inn, Pantai Cherating Lama, Tunku Sara Eliza Tunku Ismail berkata, pihak berwajib juga digesa menjalankan kajian berhubung kejadian hakisan tebing yang semakin serius dan membimbangkan di pantai itu.
“Sejak September tahun lalu, hakisan di pantai ini semakin serius dan membimbangkan terutama bagi pengusaha chalet di sini.
“Akibat hakisan yang berlaku, lebih 35 pokok kelapa dan rhu sudah musnah manakala yang masih ada menunggu masa untuk tumbang.
“Pokok tumbang terdampar di pantai dan ia mencacatkan pemandangan selain berbahaya buat pelancong yang mandi-manda di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Tunku Sara Eliza berkata, situasi paling tidak dapat dilupakan apabila air laut hampir memasuki chaletnya pada Disember tahun lalu.
“Air laut pada ketika itu memang sudah naik, cuma tidak masuk lagi ke dalam chalet. Jadi saya bimbang, hakisan yang berlaku semakin serius sekali gus merosakkan chalet di sini,” katanya yang memaklumkan jarak dua chaletnya dari pantai kini tidak sampai 20 meter berbanding 100 meter sebelum hakisan.
Katanya, kawasan pantai itu kini terdedah kepada bahaya kerana kesan hakisan begitu hampir dan menjejaskan beberapa struktur di situ.
Sementara itu, adik Tunku Sara Eliza, Tunku Zaza Faranaz pula kesal kerana sehingga kini tiada tindakan diambil pihak berkaitan bagi menangani hakisan di Pantai Cherating Lama walaupun sudah lama berlaku.
“Aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini. Namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit.
“Kami bimbang sekiranya dibiarkan, alam sekitar di kawasan ini terancam dengan lebih teruk selain berlaku kejadian tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam,” katanya.-UTUSAN










