PETALING JAYA: Kerajaan disaran menggubal peraturan khusus bagi menangani penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, berkata buat masa ini, peraturan yang digunakan masih sama seperti larangan merokok, di mana pelajar akan diberikan tiga kali amaran sebelum dikenakan tindakan gantung sekolah.
Katanya, peraturan ini mungkin tidak lagi relevan kerana penggunaan vape semakin berleluasa dalam kalangan pelajar.
“Kebanyakan pelajar kini lebih cenderung menggunakan vape kerana mereka menganggapnya sebagai trend dan kurang berbahaya berbanding rokok. Ini membuktikan kesedaran tentang kesannya masih rendah.
“Lebih membimbangkan, akses kepada vape mudah diperoleh walaupun sudah ada larangan jualan kepada individu bawah umur sehingga menyebabkan pelajar lebih berani menggunakannya di sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kementerian Pendidikan sebelum ini dilaporkan tidak berkompromi dalam isu trend penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan pelajar sekolah dengan 20,000 golongan itu dilaporkan terjebak kegiatan terbabit tahun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan melaksanakan langkah proaktif bagi mengekang gejala berkenaan dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, pihak berkuasa perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang melarang penjualan rokok dan vape kepada individu bawah umur.
“Premis yang menjual vape kepada pelajar perlu dikenakan tindakan lebih tegas termasuk pembatalan lesen atau kompaun yang lebih berat,” katanya.
Tambahnya, isu itu bukan hanya membebankan pihak sekolah tetapi menimbulkan risiko kepada guru terutama guru disiplin yang perlu berdepan dengan pelajar terlibat.
Katanya, kesedaran ibu bapa amat penting kerana mereka perlu memantau tingkah laku anak-anak di luar sekolah dan guru tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam menangani masalah ini.
“Contohnya, kes di Perlis di mana seorang pelajar terjatuh dari bangunan akibat vape adalah bukti masalah ini perlu ditangani segera sebelum lebih banyak insiden tidak diingini berlaku.
“Provokasi daripada pelajar juga boleh meningkatkan risiko keselamatan guru yang cuba mengambil tindakan disiplin terhadap mereka. Oleh itu, peraturan lebih ketat perlu dilaksanakan bagi melindungi semua pihak,” katanya.
Fouzi menegaskan, semua pihak termasuk kerajaan, sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan lebih efektif dalam membanteras isu vape di sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru terus terpelihara. – UTUSAN









