JELEBU: Sebanyak empat unit rumah kedai termasuk sebuah kedai makan di Kampung Chennah, Titi, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelebu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farid Mohd. Desa berkata, pihaknya termasuk pasukan bantuan dari BBP Simpang Pertang dan Ampangan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 8.39 malam.
Menurutnya, pihaknya tiba di lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari BBP Jelebu pada pukul 9.05 malam dan sebaik tiba kebakaran melibatkan empat daripada sembilan unit premis di bangunan kedai jenis separuh kekal.
“Api berjaya dikawal pada pukul 9.20 malam. Dalam kejadian ini, dua unit kedai musnah 100 peratus iaitu sebuah kedai makan dan sebuah premis kosong.
“Sebuah rumah kedai yang dijadikan sebagai kedai runcit musnah 50 peratus di bahagian bumbung, manakala satu unit lagi rumah kedai yang dijadikan sebagai rumah musnah 60 peratus,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd Farid lagi, dalam kejadian tersebut tiada mangsa yang terbabit dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan. – UTUSAN