Disangka bergaduh dengan kembar, rupanya anak diserang beruk

Disangka bergaduh dengan kembar, rupanya anak diserang beruk

KEADAAN bahagian belakang badan Muhammad Ammar Hakim Sanusi yang cedera akibat diserang seekor beruk berhampiran rumahnya di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun di Terengganu. - IHSAN ADUN BUKIT BESI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: “Saya dengar anak menjerit dan menangis, sangkakan dia bergaduh dengan kembarnya. Namun bila saya bergegas ke bahagian depan rumah, saya lihat dia sudah berlumuran darah.” 

Demikian detik cemas yang dialami Zaharah Yaakob, 50, dari Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, semasa anak bongsunya, Muhammad Ammar Hakim Sanusi, 10, diserang seekor beruk ketika dia mahu pergi mengaji berhampiran rumahnya kira-kira pukul 5.30 petang, kelmarin.

Zaharah berkata, pada awal­nya dia menyangkakan Muhammad Ammar Hakim keluar mengaji bersama kembarnya, Muhammad Ammar Hazim namun dia pergi terlebih dahulu sebelum anak bongsu daripada enam adik beradik itu menyusul. 

“Ketika anak saya berlari-lari keluar dari rumah, beruk itu secara tiba-tiba melulu dan menyerangnya dari arah belakang. Kejadian itu berlaku hanya kira-kira 10 meter dari rumah saya. 

“Anak saya cuba sedaya upaya menyelamatkan diri bergegas lari ke arah rumah, namun tetap dikejar haiwan itu,” katanya semalam.

Zaharah berkata, anak perempuannya berumur 27 tahun yang menyedari adiknya diserang haiwan itu kemudiannya bertindak menghalau beruk tersebut. 

“Saya sedang memasak di dapur, bila saya terdengar anak meraung dengan kuat saya terus dapatkannya dan ketika itu dia telah digigit dan dicakar haiwan itu dengan bajunya berlumuran darah,” katanya. 

Bagaimanapun, dia bersyukur anaknya yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu tidak mengalami kecederaan serius.

Katanya, kejadian itu menyebabkan murid darjah empat Sekolah Kebangsaan Durian Mas II itu cedera di bahagian belakang, punggung dan tangan kiri. 

“Anak saya berada dalam keadaan baik dan dia masih mengingati kejadian yang berlaku,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Un­dangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengesan kera tersebut. 

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu, kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.

“Pihak kami telah melakukan siasatan dan memasang perangkap di sekitar kawasan kejadian. Kita turut melakukan kawalan dan pemantauan. 

Beliau meminta penduduk dupaya tidak memberikan makanan kepada haiwan tersebut dan segera melaporkan kepada Perhilitan jika terdapat hidupan liar yang mendatangkan gangguan dan cubaan ancaman.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN