FENOMENA rakyat Malaysia bercuti di Thailand khususnya Hatyai dan lokasi tumpuan di sekitarnya tidak pernah surut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Setiap kali cuti sekolah atau cuti umum yang bersambung pada hujung minggu, pintu sempadan antarabangsa seperti di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sentiasa padat.
Malah, Kompleks ICQS Kota Putra, Durian Burung di Kuala Nerang yang sebelum ini kurang menjadi pilihan, kini semakin ramai pelancong Malaysia melalui pintu sempadan itu.
Setiap kali musim percutian rakyat Malaysia di negara gajah putih itu, dianggarkan hampir setiap hari berlaku kemalangan jalan raya melibatkan pemandu yang membawa masuk kenderaan ke sana.
Tidak ada salahnya memandu di Thailand, malah lebih memudahkan dan menyeronokkan berbanding menaiki perkhidmatan awam seperti van pelancong atau kereta api.
Namun, masih ramai yang belum menyedari risiko menanti seandainya hanya berbekalkan insuran wajib (CI) yang disyaratkan kerajaan Thailand untuk setiap kenderaan asing memasuki negara itu.
Memang benar dengan CI dan mengisytihar kenderaan kepada kastam Thailand, rakyat Malaysia dikira memandu secara sah di negara itu.
Bagaimanapun, benar pesan orang tua-tua ‘tak jadi tak apa, sudah jadi merana’. Sebabnya nak berjimat ratusan ringgit akhirnya terpaksa mengeluarkan sehingga puluhan ribu dek kerana terlibat nahas jalan raya.
Pengarah Urusan GoThai.my Sdn. Bhd., Mohd. Shafiq Johari yang merupakan penyedia perkhidmatan insuran di Napoh berkongsi, pihaknya pernah menguruskan lapan kes kemalangan dalam masa sehari di negara jiran membabitkan rakyat tempatan.
Katanya, lebih malang terdapat rakyat Malaysia yang kemalangan terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar ganti rugi kepada mangsa kemalangan negara itu kerana mereka tidak mengambil insurans yang sewajarnya.
Rakyat Malaysia walaupun dinasihatkan untuk mengambil insurans yang lebih baik tapi ada yang mengambil mudah dengan mengambil insurans minimum dengan alasan sudah biasa ke sana dan tiada apa-apa yang akan berlaku.
Malang tidak berbau, kata Mohd. Shafiq, ada kes rakyat Malaysia yang motosikalnya bergesel sedikit dengan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson dan akhirnya terpaksa membayar kepada tuan motosikal sebanyak RM3,000.
Selain itu, terdapat kes orang Malaysia melanggar mati warga Thailand dan oleh kerana hanya insurans minimum akhirnya dia perlu membayar pampasan kira-kira RM70,000 kepada waris si mati.
Maka amat penting untuk setiap pengembara khususnya pelancong rakyat Malaysia mengambil perlindungan tambahan selain CI iaitu insuran sukarela (VI), insuran perjalanan (TI) dan Extension 101 Insurance (E101).
Dengan bayaran sekitar RM300 ke RM400 bergantung jenis kenderaan untuk tempoh seminggu, tidak mustahil dapat menjimatkan kira-kira RM35,000 jika terlibat kemalangan jalan raya di Thailand. – UTUSAN










