ALOR GAJAH: Belangkas kini boleh dikatakan menjadi antara menu ikonik Melaka kerana ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Kampung Nelayan Kuala Linggi di sini, pada setiap cuti hujung minggu semata-mata ingin menikmati hidangan eksotik itu.
Suatu masa dahulu, hidupan laut itu sering dibuang oleh nelayan kerana tidak berharga ekoran stigma masyarakat yang menganggapnya beracun.
Hari ini, belangkas mendapat permintaan tinggi yang mana Isi dan telurnya dikatakan manis berlemak.
Pemilik Restoran Citarasa Belangkas, Azizi Buyaman, 29, berkata, ada yang datang bertandang sehingga satu bas lantas menyebabkan premisnya terpaksa ditutup kepada pelanggan lain.
“Permintaan terhadap belangkas betina sangat tinggi sejak akhir-akhir ini hingga saya memerlukan antara 30 hingga 40 ekor sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Alhamdulillah bekalan mencukupi kerana hampir seluruh nelayan dari Kuala Sungai Baru hingga Kuala Linggi akan menghantar belangkas sama ada dua, tiga dan sehingga 10 ekor dengan harga RM10 seekor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Azizi, dakwaan bahawa belangkas mempunyai racun adalah tidak benar kerana spesies itu selamat dimakan selain perlu dibersihkan dengan betul.
Katanya, kebanyakan pelanggan tetapnya datang dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Singapura yang akan membuat tempahan terlebih dahulu.
“Seekor belangkas yang siap dimasak dijual pada harga RM30 seekor sama ada untuk masak sambal, gulai lemak cili api dan masak lemak berempah. Belangkas yang disediakan segar, kita tidak menyimpan stok yang banyak kerana bimbang akan menjejaskan rasa hidangan,” katanya.-UTUSAN