BAGAN DATUK: Selain Teluk Intan, muara sungai di Bagan Datuk juga menjadi kegemaran kaki pancing yang memancing udang galah sepit biru.
Malah ada yang sanggup datang dari Sabah untuk memancing udang sepit biru selain beriadah bersama keluarga.
Antaranya, seorang wanita, Roszita Mohammad Awang, 41, dari Lahad Datu yang datang bersama kawan-kawannya semata-mata untuk memancing udang galah sepit biru.
Menurutnya, ini kali ketiga dia datang ke Bagan Datuk untuk memancing udang.
“Udang galah sepit biru Sungai Perak sangat sedap, rasanya manis berbeza dengan udang galah di tempat lain. Sebab itu kami sanggup datang dari jauh, menyewa inap desa di sini bersama kawan-kawan.
“Memancing secara bersantai di atas rakit pelampung bersama rakan-rakan merupakan saat yang menyeronokkan. Kadang-kadang dapat, kadang-kadang balik tangan kosong, itu perkara biasa.
Bagi kami yang datang dari Sabah, tidak kisahlah kalau tak dapat udang pun, asalkan boleh memancing dengan kawan-kawan semasa musim cuti sekolah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Rakannya, Molitin Enson, 50, berkata, mereka dapat menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan sungai ketika memancing udang.
Katanya, mereka pernah memancing di tempat lain namun tidak sama dengan kawasan muara Sungai Perak yang merupakan lubuk udang sepit biru.
“Tahun lepas kami datang sini memancing, kami dapat banyak udang galah sepit biru, itu yang membuatkan kami datang semula ke sini,” katanya.
Menurut Moliti, udang galah yang mereka dapat akan dimasak terus di atas rakit pelampung memancing yang disewa. – UTUSAN