KUALA SELANGOR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap dapat turut terlibat dalam penyediaan input untuk membasmi kemiskinan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Angkasa mempunyai 16,009 buah koperasi dengan 7.15 juta ahli sebahagian besarnya adalah dalam kalangan keluarga berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).
Oleh itu, jelas beliau, penglibatan pihak koperasi sebagai instrumen dalam merangka RMK-13 amat bertepatan dengan hasrat membasmi kemiskinan tersebut.
“Kami berharap koperasi dijadikan satu sektor utama dalam pembangunan sosioekonomi (dalam RMK-13) termasuk membasmi kemiskinan dan juga keterjaminan makanan.
“Sebahagian ahli koperasi adalah dalam kumpulan B40 jadi menggunakan koperasi untuk mengurangkan kemiskinan adalah instrumen terbaik tambahan pula ramai ahli koperasi di luar bandar terlibat dengan pertanian, “katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Promosi Jom@Coop 2025 di sini hari ini.
Abdul Fattah yang juga merupakan Presiden ASEAN Co-Operative Organization (ACO) berkata, koperasi mempunyai jaringan ekosistem yang luas dalam pemasaran barangan di seluruh negara.
Peranan itu jelasnya boleh dikembangkan untuk menjadi pengeluar bekalan makanan seterusnya mengurangkan penggantungan makanan import.
Sehubungan itu, pihaknya juga berharap kerajaan boleh meningkatkan peruntukan dana untuk pihak koperasi pada belanjawan akan datang. – UTUSAN