PETALING JAYA: Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Berhad, mengumumkan agihan pendapatan bagi PMB Shariah Global Equity Fund satu sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025.
Agihan pendapatan tersebut berjumlah RM106,896.25 dan telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh selepas 31 Januari 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 Februari 2025.
Ia juga mewakili hasil sebanyak 1.80 peratus untuk tahun kewangan tersebut, dengan mencatatkan pulangan keseluruhan sebanyak 2.66 peratus dalam tempoh yang sama.
Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, dengan pulangan yang memberangsangkan sebanyak 23.75 peratus dalam tempoh tiga tahun yang berakhir pada 31 Januari 2025, PMB Shariah Global Equity Fund telah konsisten memberikan hasil yang kukuh.
“Ini mencerminkan daya tahan dana ini dan keupayaannya untuk mengharungi keadaan pasaran global yang dinamik dengan berkesan.
“Dana ini bertujuan untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam portfolio pelbagai sekuriti patuh syariah yang tersenarai di pasaran global.
“Dalam keadaan biasa, dana ini memperuntukkan 70 peratus hingga 99.5 peratus daripada Nilai Aset Bersih (NAV) kepada ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti, dengan baki dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit Islam, dan pelaburan patuh syariah yang lain,” katanya.
Seiring dengan inisiatif strategik jualan PMB Investment untuk awal 2025, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd. Idzwan Izuddin Ab Rahman telah mengumumkan pelancaran Promosi Khas Caj Jualan 0.88 peratus sempena Tahun Baharu Cina.
“Kempen ini bertujuan untuk memperluas bilangan pelabur bukan Bumiputera, dengan fokus khusus untuk meningkatkan purata semasa 10 peratus segmen pelabur Cina dalam syarikat.
“Promosi terhad ini, yang berlangsung dari 22 Januari 2025 hingga 12 Februari 2025, menawarkan yuran jualan yang sangat kompetitif sebanyak 0.88 peratus, yang jauh lebih rendah berbanding kadar standard enam peratus.
“Kempen ini juga menandakan usaha promosi jangka pendek pertama PMB Investment yang dianjurkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bertujuan untuk menarik pelbagai jenis pelabur,” katanya. – UTUSAN










