TUMPAT: Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk kanak-kanak berusia dua tahun yang baru mendarat di sebuah pangkalan haram dekat bawah jambatan Pulau Ular, di sini dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor semalam.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, pemeriksaan mendapati kesemua PATI itu baru tiba ke negara ini melalui laluan tidak sah dari Thailand.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah masuk ke negara ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Zulafendy memberitahu, PATI itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di bawah
“Ini merupakan kejayaan kedua PPM Wilayah Tiga dalam membanteras kemasukan PATI dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini,” ujarnya.-UTUSAN










