KLUANG: Kira-kira 179,000 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) seluruh negara bakal menerima manfaat hasil perniagaan berasaskan ayam dan perhotelan yang diceburi persatuan itu.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, perniagaan yang sudah digerakkan sejak tiga bulan lalu adalah sebahagian daripada usaha persatuan membantu membangunkan ekonomi dan kebajikan ahlinya.
Katanya, selain perniagaan makanan berasaskan ayam, persatuan juga melibatkan urus niaga perhotelan dengan penyediaan 480 bilik di dua hotel di Paroi, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
“Menceburi dua perniagaan ini dilihat mendapat sambutan menggalakkan bukan hanya di dalam negara malah turut diterima oleh beberapa negara jiran.
“Dengan adanya sumber perniagaan ini, insya-Allah PVATM akan mampu berdikari tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada pihak lain sekiranya dapat diuruskan dengan jayanya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PVATM Cawangan Kluang di sebuah hotel di bandar ini semalam.
Menurutnya lagi, hasil daripada dua perniagaan yang diceburi. persatuan itu mampu memberikan pulangan lumayan yang secara tidak langsung membantu cawangan menggerakkan aktiviti kebajikan kepada ahli-ahli.
“Ia juga membuktikan bahawa PVATM adalah satu-satunya persatuan yang relevan kepada semua pesara Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Bersempena dengan mesyuarat agung ini, seramai 25 ahli daripada empat cawangan telah dianugerahkan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) selain sumbangan kepada veteran kurang upaya dan balu veteran kurang upaya. – UTUSAN










